Skip to content

Apakah Program Tajaan TWI Malaysia?

ejak beberapa tahun, TWI Technology (S.E.Asia) Sdn. Bhd. (TWI Malaysia) telah meraih beberapa kejayaan bekerjasama dengan kerajaan Malaysia dan agensi-agensi berkaitan. Kami amat komited dan berdedikasi ke arah pembangunan dan peningkatan keupayaan latihan TVET di Malaysia melalui pelaksanaan kepakaran kami dalam latihan dan pensijilan di dalam bidang kimpalan dan pemeriksaan. TWI Malaysia berazam untuk terus bekerjasama rapat dengan industri untuk membangunkan tenaga kerja mahir yang dapat memenuhi keperluan industri di Malaysia dan memperoleh pendapatan tinggi di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Bagaimanakah TWI Malaysia boleh menawarkan latihan tajaan?

TWI Malaysia mendekati pelbagai agensi kerajaan yang mampu menawarkan dana untuk latihan dan peningkatan kemahiran.

Setiap agensi mempunyai keperluan dan spesifikasi tersendiri untuk sasaran calon yang boleh mendapat manfaat daripada dana latihan dan program CSR.

Sebagai contoh, jika dana ditawarkan oleh agensi di Selangor, salah satu pra-syarat mungkin peserta program tajaan itu mestilah warga negeri Selangor. Syarat kelayakan tambahan juga boleh dikenakan seperti calon mesti datang dari kumpulan B40 atau mempunyai latar belakang dan mempunyai kemahiran asas tertentu.

TWI Malaysia juga bekerjasama dengan institusi latihan kemahiran tempatan untuk meningkatkan kemahiran calon dengan pengetahuan kimpalan mengikut keperluan industri. Kami juga mempunyai kerjasama dengan institusi yang membantu mereka yang tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang kimpalan dan pemeriksaan untuk menjadi kompeten dalam bidang ini dan menyediakan penempatan kerja untuk mereka pada akhir program. Setakat ini ramai belia Malaysia telah mendapat manfaat daripada program “Zero to Hero” kami. Pelajar tahfiz juga telah menjadi satu contoh yang baik tentang bagaimana program ini dapat membantu anak muda Malaysia menceburi industri minyak dan gas.

 

Apakah syarat penyertaan bagi mereka yang ingin menerima tajaan?

Setiap program yang ditaja mempunyai keperluan tersendiri. Jadi, jika anda berminat untuk memohon penajaan, anda perlu memberi perhatian dan mengetahui tentang syarat-syarat kelayakan program tersebut. Walau bagaimanapun, terdapat beberapa kriteria am yang biasanya digunakan untuk kebanyakan program.

Pemohon mestilah warganegara Malaysia, berumur dari 18 hingga 45 tahun. Keutamaan diberikan kepada keluarga berpendapatan rendah (B40), golongan Asnaf, atau mereka yang menerima bantuan Zakat daripada majlis agama Islam negeri. Calon hendaklah memiliki sekurang-kurangnya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) atau setaraf dengannya. Terdapat juga program yang disediakan khas untuk pelajar Tahfiz untuk membantu mereka meningkatkan taraf hidup mereka dengan memberikan akses kepada pendidikan berkualiti dan mempelajari kemahiran baharu.

 

Berapa lamakah tempoh kursus latihan tajaan TWI Malaysia?

Tempoh latihan tajaan TWI Malaysia boleh berubah bergantung kepada program. Sebagai contoh, program “Zero to Hero” boleh berlangsung selama 16 minggu manakala beberapa program lain mungkin mengambil masa 1 hingga 2 minggu sahaja. Untuk mengetahui tentang tempoh setiap program, anda boleh menghubungi kami di webinquiry@twisea.com dan kami akan memberikan anda butiran penuh latihan tajaan yang anda minati.

 

Adakah terdapat kos untuk peserta program tajaan? Berapa banyak yang perlu saya bayar?

Pemohon program latihan yang ditaja tidak perlu membayar apa-apa untuk menyertai program ini. Kos latihan adalah 100% ditanggung oleh penaja.

Walau bagaimanapun, jika pada akhir program, pelajar menarik diri, menamatkan atau menolak penempatan kerja yang disediakan, mereka mungkin perlu membayar balik semua kos yang ditanggung oleh penaja. Jumlah boleh berbeza-beza berdasarkan program dan ia akan dikira oleh penaja.

 

Apakah proses permohonan untuk mendapatkan tajaan?

Sebaik sahaja anda memilih program yang anda ingin sertai, anda perlu menghubungi pihak TWI Malaysia mendapatkan maklumat terperinci dan mendapatkan senarai dokumen-dokumen iringan yang diperlukan untuk permohonan anda. Anda kemudiannya perlu menyerahkan dokumen-dokumen tersebut kepada pihak TWI Malaysia.

Jika anda memenuhi syarat kemasukan dan permohonan anda disenarai pendekkan, anda akan dihubungi oleh salah seorang kakitangan kami. Anda akan dijemput untuk menyertai sesi saringan dan temuduga. Pemohon yang berjaya akan dimaklumkan dalam masa 2-4 minggu tentang penerimaan mereka ke dalam program ini.

 

Adakah saya perlu mempunyai pengalaman kerja yang berkaitan untuk memohon tajaan?

Program tajaan kami kebanyakannya disasarkan kepada calon yang ingin belajar dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang kimpalan dan pemeriksaan. Oleh itu, pengalaman bekerja tidak diperlukan. Walau bagaimanapun, jika anda mempunyai pengetahuan latar belakang dan pengalaman kerja yang berkaitan dalam bidang ini, ia boleh membantu anda untuk belajar dengan lebih mudah.

 

Adakah saya dijamin mendapat penempatan pekerjaan selepas menamatkan latihan saya?

Ya, semua calon yang menamatkan latihan tajaan dan berjaya dalam peperiksaan akan diberikan peluang penempatan pekerjaan.

 

Apakah proses penempatan kerja selepas tamat latihan tajaan?

Apabila pelajar yang terpilih memulakan latihan tajaan mereka di TWI, kami akan mendekati syarikat yang berkaitan untuk pengambilan graduan. Biasanya, pada bulan kedua program tajaan, sesi temuduga diadakan. Calon-calon yang berjaya dalam sesi temu duga akan mendapat surat tawaran sebelum mereka menamatkan latihan mereka dengan TWI Malaysia dan boleh memulakan kerjaya mereka sejurus tamat latihan mereka dengan berjaya.

 

Apakah tangga gaji yang boleh saya jangkakan selepas tamat latihan tajaan saya di TWI?

Bergantung kepada industri yang anda ceburi, tangga gaji mungkin sedikit berbeza. Biasanya permulaan tangga gaji untuk pengimpal atau pembantu ialah RM 1,200 hingga RM 1,500 sebulan. Jumlah ini boleh meningkat jika terdapat bayaran bekerja lebih masa (overtime) dan juga elaun-elaun kebajikan lain ditambah kepadanya.

Bagi mereka yang mendapat pekerjaan dalam bidang NDT, tangga gaji permulaan adalah antara RM 1,700 hingga RM 1,800. Apabila calon memperoleh pengalaman dan jika mereka mempelajari Teknik NDT tambahan, tangga gaji mereka akan meningkat.

Adalah penting untuk diingatkan bahawa walaupun anda telah menjalani latihan kecekapan profesional di TWI Malaysia, namun, apabila anda memasuki industri anda kekurangan pengalaman kerja. Oleh itu dengan kesabaran dan dari masa ke masa, anda boleh membina resume yang kukuh dan meningkatkan pendapatan anda secara drastik.

 

Apakah pilihan perkembangan kerjaya saya selepas menamatkan latihan yang ditaja?

Selepas menamatkan program latihan di TWI, kami mengesyorkan anda kekal di tempat kerja anda buat sementara waktu untuk mendapatkan pengalaman dan pendedahan industri secara langsung. Ini bukan sahaja membantu anda mempertajamkan kemahiran anda tetapi juga memberi anda gambaran yang lebih baik tentang minat anda untuk langkah seterusnya dalam laluan kerjaya anda.

Anda juga boleh memilih untuk berkembang dalam bidang Pemeriksaan kimpalan atau anda mungkin mendapati diri anda berminat dengan barisan kerja NDT. Mana-mana bidang yang anda pilih, TWI boleh membantu anda dengan kemajuan dalam kerjaya anda dengan kelayakan yang diiktiraf di peringkat global dan boleh menjamin pekerjaan anda dalam projek antarabangsa.

 

Adakah saya akan mendapat sijil selepas menamatkan program latihan tajaan di TWI Malaysia?

Bergantung pada program tajaan yang anda sertai, sijil yang akan diterima adalah pelbagai bergantung kepada pakej program tajaan.

Apabila menghadiri latihan tajaan di TWI, anda akan dilatih dan diperakui mengenai kemahiran yang diminta oleh industri Malaysia. Jika anda melengkapkan latihan kimpalan, anda akan menerima Sijil Kehadiran TWI, sijil CSWIP (kompetensi bergantung kepada program). Sijil lain mungkin termasuk Kad Hijau CIDB, OGSP, CSWIP Pemeriksa Kimpalan Visual dan CSWIP teknik NDT.

 

Betapa sukarnya mengimpal dan bolehkah wanita menghadiri latihan?

Sama seperti kemahiran lain, sebagai seorang pemula, anda mungkin mendapati sukar untuk mengimpal. Walau bagaimanapun, dengan kesabaran, ketekunan, dan latihan berterusan, anda dijamin boleh menguasai kemahiran dan kimpalan akan menjadi pekerjaan yang bermanfaat.

Kimpalan adalah industri yang didominasi lelaki, namun, ini tidak bermakna wanita tidak boleh memasuki bidang ini. Baru-baru ini, kami telah mempunyai beberapa pelajar perempuan yang telah berjaya menamatkan program latihan kimpalan dan kini bekerja di industri dan mencari rezeki daripada kemahiran mereka.

 

Di manakah latihan tajaan dijalankan? Adakah penginapan, makanan, pengangkutan dan elaun termasuk dalam program tajaan?

Selalunya, kursus latihan yang ditaja dilakukan di fasiliti kami di Shah Alam, Selangor. Bagaimanapun, bergantung kepada program tertentu, latihan juga boleh dijalankan di pusat latihan yang diluluskan di negeri lain.

Calon dari luar Kuala Lumpur dan Selangor akan disediakan tempat tinggal, makanan dan pengangkutan. Elaun bulanan diberikan kepada peserta bergantung kepada pakej program tajaan.



For more information please email:


webinquiries@twisea.com

GTM-PSN49WB
GTM-PZFKBMB